Terlalu memilih makanan ‘sihat’ sahaja: Apakah ini sejenis gangguan pemakanan orthorexia nervosa?
As featured on Channelnewsasia / Jul 26 2023 / Written by Khoo Bee Khim
Apakah anda orang yang tidak mahu makan kecuali makanan itu jenis organik, bebas GMO dan tidak mempunyai karbohidrat, bahan tambahan, pengawet, gula tiruan atau natrium - walaupun tabiat ini menjejas hubungan dan kehidupan sosial anda?
Bayangkan seseorang yang tidak makan apa-apa selain tairu atau yogurt beku untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam setiap hari. Motivasi untuk berpegang pada makanan yang dianggap "sihat" dan "lengkap" ini sangat kuat sehinggakan destinasi bercuti pun akan bergantung kepada sama ada tempat itu menyediakan yogurt beku.
Atau juga seorang rakan bersenam anda yang terlalu cerewet tentang kandungan lemak, natrium dan gula dalam makanannya sehingga dia tidak akan menyentuh makanan segera atau teh buih - malah akan cepat menghukum sesiapa yang memilih pemakanan sedemikian. Apabila membuat tempahan dalam talian pula senarai permintaannya agak panjang - (seperti "sos tepi, kurang garam dan gula, tiada bawang goreng, kopi tanpa susu pekat") – sehingga tidak muat ruang karakternya.
Memang kita boleh menjangkakan mereka yang amat pentingkan kesihatan atau golongan fitspo begitu berhati-hati tentang diet mereka (ini kerana mereka tidak rela terlupusnya semua faedah kesihatan yang dikerjakan sejauh ini, bukan begitu?). Tetapi lain pula ceritanya jika mereka menjadi orang yang terlalu menyekat pemakanannya.
Mereka yang terlalu asyik mementingkan pemakanan sihat sahaja ini boleh juga digolongkan sebagai mereka yang menghidap apa yang dipanggil orthorexia nervosa, kata Dr Tay Yi Hang, perunding bersekutu perubatan psikologi di Hospital Khoo Teck Puat.
"Dalam kes-kes yang ringan, individu itu mungkin menghabiskan banyak masa dan usaha untuk mendapatkan dan membeli makanan, atau merancang dan menyediakan makanan," kata Dr Tay. "Obsesi keterlaluan sebegini boleh mengganggu dengan ketara prestasi akademik atau pekerjaan mereka, atau juga ia boleh menjejas kehidupan sosial mereka."
Berbeza dengan gangguan pemakanan yang lebih diketahui sebagai anoreksia nervosa dan bulimia, "pada masa ini tiada data yang diterbitkan mengenai kejadian atau kelaziman orthorexia nervosa di Singapura", kata Dr Tay.
Sebabnya adalah "kemungkinan kerana orthorexia nervosa masih belum diklasifikasikan sebagai diagnosis psikiatri rasmi" di peringkat antarabangsa, kata Dr Zheng Zhimin, pakar psikiatri perunding di Pusat Kesejahteraan Psikologi Nobel (Ang Mo Kio), sebuah syarikat di bawah Kumpulan Perubatan Healthway.
Dr Zheng berkata beliau menghadapi satu atau dua kes sedemikian sebulan tetapi corak pemakanan yang ketat selalunya bukan isu utama. "Pesakit biasanya mengalami masalah mood dan/atau kebimbangan dan juga mungkin mempunyai kecenderungan obsesif yang kompulsif."